- بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Firman Allah dalam Surah alBaqarah ayat 103-104
Dan jika mereka beriman dan bertaqwa, pahala dari Allah pasti lebih baik, sekiranya mereka tahu. Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan Ra’ina tapi katakanlah, Unzurna dan dengarkanlah. Dan orang-orang kafir akan mendapat azab yang pedih
Pada permulaan ayat, Allah menunjukkan progres seorang yang beriman hendaklah beriringan bersamanya pertambahan taqwa. Hamba yang bertaqwa sentiasa peka dengan akal, hati dan tingkah-lakunya supaya tidak melanggar perkara-perkara yang membawa kepada murka Allah. Allah menjelaskan dalam ayatnya jika mereka beriman bermaksud Allah memberi pilihan sama ada untuk kufur (di dunia yang penuh dengan godaan) atau untuk kekal berpegang teguh pada iman. Maka berbahagialah mereka yang berpegang teguh pada iman kerana Allah dengan jelas dan terang menjamin bahawa ganjaran dari sisi Allah itu tidak terbanding dengan segala kemewahan dan kesenangan dunia. Ganjaran yang istimewa dari sisi Allah itu memang menjadi mainan di mulut manusia. Syurga Allah yang kekal abadi tetapi adakah manusia benar-benar mengetahui? Kita ambil contoh pemandu memandu kereta sangat laju, apabila ditegur sudah pasti dia tahu akan akibat buruknya tapi adakah dia benar-benar tahu? Dia akan tahu dengan sebenar-benar tahu apabila dia sendiri cedera parah dalam kemalangan jalan raya. Pada waktu itu baru mengeluh “Kalau lah aku tahu”, bukankah sudah diingatkan? Jadi manusia hendaklah mengambil perhatian atas peringatan ini.
Kemudian Allah teruskan dengan mengalih perhatian dari bercakap mengenai Bani Israel (ayat 103 dan sebelumnya) dengan bercakap terus kepada orang-orang beriman. Ini adalah signal supaya kita tidak mengulangi tabiat buruk Bani Israel. Allah memberi amaran kepada orang-orang beriman supaya jangan menggunakan perkataan Ra’ina tapi gantikan dengan Unzurna. Ra’ina digunakan apabila orang yang bercakap mahu para hadirin memberi perhatian. Apabila vokal huruf ya dipanjangkan ia bermaksud orang gaji atau orang yang diupah melakukan kerja pembersihan. Orang-orang Bani Isreal suka menggunakan perkataan ini untuk menghina/menyindir orang lain.
Jadi Allah mahu membuang terus tabiat menggunakan perkataan tersebut yang mempunyai dua maksud (satu maksud baik, satu maksud buruk) seperti contoh di atas. Tapi sebaliknya gunakanlah Unzurna yang membawa maksud yang sama untuk tujuan yang sama kerana ia selamat dari dipermain-mainkan perkataan itu.
Allah melarang kita dari bermain-main dengan perkataan. Allah melarang kita menggunakan perkataan yang boleh membawa kepada salah faham walaupun niat asalnya adalah untuk kebaikan. Allah mengingatkan bahawa orang beriman sepatutnya meninggalkan terus penggunaan perkataan seumpamanya dan pilihlah perkataan yang baik apabila berbicara. Kerana jelas bahawa setiap yang keluar dari mulut kita (atau yang tidak keluar dari mulut kita) menggambarkan apa yang ada dalam hati kita, baik atau buruk, bersih atau kotor, iman atau kufur. Sesungguhnya akhlaq adalah buah kepada iman.
Allah menutup ayat 104 dengan mengatakan manusia yang degil untuk menurut perintah ini adalah manusia yang kufur dan pasti azab Allah yang pedih sedia menunggu (semoga kita dilindungi darinya).
WaAllahu a’lam
No comments:
Post a Comment